Nafsu yang mengajak kita kepada perbuatan yang tercela itu hendaklah dicela.
Nafsu yang sentiasa membujuk dan menyeru kita kepada kejahatan itu hendaklah dikekang.
Itulah Nafsu Ammarah.
Nafsu yang tercela sentiasa memotivasikan pemiliknya supaya ‘jangan berhenti’ atau ‘jangan cuti’ daripada berbuat dosa.
Allah SWT menegaskan bahawasanya: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi Rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf, 53)
Entah berapa banyak manusia yang kecundang ditakluknya.
Entah berapa banyak orang yang tertiarap hina menjadi hambanya?
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Jathiah, ayat 23: ertinya:
” Maka sudahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya. Dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya.”
Yang menonong mengikut bujukan hawa nafsunya tanpa Mujahadah pasti akan menerima padah, hidupnya akan terarah kepada rutin-rutin yang tidak ada faedah manakala akhlak dan imannnya akan merudum kepada tahap terendah.
Nafsunya hanya tahu mengheretnya ke lembah kedosaan dan kemaksiatan. Siang dan malam, pagi dan petang hidupnya sentiasa beroreantasikan kederhakaan dan kemungkaran.
Sebaliknya, orang yang beriman lagi bijaksana tidak akan membiarkan dirinya diperbudakkan hawa nafsunya. Dia bukannya sang kaldai yang sewenang-wenang menjadi tunggangan nafsunya.
Orang beriman akan mendidik nafsunya agar taat dan patuh kepada Allah yang telah menciptakannya.
Orang beriman hanya mengabdikan dirinya kepada Allah manakala keinginan nafsunya hanya dihalakan kepada kebaikan dan kesolehan.
Nafsunya yang meronta-ronta mengajak kepada kejahatan akan dikekang dengan gerak kerja MUJAHADAH.
Mujahadah itu kemudiannya dibajai dengan Zikrul Maut iaitu mengingati kematian.
Kemudiannya disususli pula dengan siraman amal soleh yang lebat sebagai bekalan untuk hidup sesudah kematian.
Ya, MUJAHADATUN NAFS ..iaitu berjihad mengekang keinginan hawa nafsu yang Mazmumah (tercela).
Terungkap di dalam alquran jaminan kebersamaan Allah dan pembukaan jalan-jalan hidayahYya kepada hamba-hamba yang istiqamah berjihad serta bermujahadah mencari keredhaanNya.
Firman Allah SWT: “ dan mereka yang bermujahadah pada jalan Kami, niscaya Kami tunjuki jalan-jalan Kami itu.” (Surah Al ‘Ankabut ayat 69).
Sabda Nabi SAW: “Orang yang bijaksana adalah orang yang mencela nafsunya kemudian melakukan amal soleh untuk kehidupan sesudah mati. Sedangkan orang yang jahil adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya kemudian mengharapkan keampunan ALlah.” (Riwayat Ibn Majah dan At Tirmizi).
No comments:
Post a Comment